Monday, 10 June 2019

Kisah Nabi Adam dan Iblis

MENEMPUH gerbang yang sarat dengan perkelahian di dalam diri dan jiwa merupakan satu lumrah hidup. Seringkali manusia yang disebut hamba sentiasa berhadapan dengan musuh yang paling nyata di hadapan. Nafsu yang menguasai diri dengan perbuatan dan tingkah laku negatif adalah janji Iblis kepada Allah di atas permintaannya.
Itulah kehidupan manusia yang hari ini. Mereka tidak pernah merasai ketenteraman untuk melakukan kebaikan dan seringkali digoda oleh Iblis. Hal ini berlaku sebagaimana dikongsikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman di dalam rancangan Ibrah pada minggu lalu.
Bersiaran di radio IKIMfm pada Isnin lalu, jam 5.15 petang, Ustaz Syaari mentafsirkan ayat di dalam Surah Al-‘Araf pada ayat 11 yang memperihalkan tentang kisah Nabi Adam AS dan Iblis.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan  yang sujud.”
Allah SWT telah membuat kesimpulan sesungguhnya Iblis tidak tergolong daripada golongan sujud. Sewaktu Allah SWT memerintahkan untuk tunduk sujud tetapi Iblis telah enggan. Oleh yang demikian, perintah Tuhan ini sehingga ke hari kiamat tetap Iblis akan mengingkarinya.
Dendam kesumat inilah menyebabkan Iblis tergolongan daripada mereka yang tidak akan mentaati Allah tetapi berbeza dengan jin, mereka mempunyai golongan yang baik.
Kemudian Allah berfirman, “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Surah Al-Araf ayat 12)
Hal ini menunjukkan sikap Iblis yang terlalu bongkak membanding-bandingkan ciptaan Allah SWT. Lalu, Allah pun berfirman, “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya;  oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” (Surah Al-‘Araf ayat 13)
Apabila Allah SWT menghalau iblis keluar dari syurga, Allah SWT memberi sebab-musabab akan hal dikeluarkan itu. Allah SWT masih meminta penjelasan kepada Iblis supaya turut sujud kepada-Nya, tetapi iblis tetap tidak mahu sujud.
Daripada hal ini, dapat difahami bahawa sesuatu perintah yang diturunkan kepada manusia itu hendaklah terus dilakukan dalam keadaan segera. Hal ini berlaku sekiranya kita mendapati ramai di kalangan kita yang sengaja melengah-lengahkan sesuatu perkara seperti untuk menunaikan solat dengan lewat, dan tidak ingin menutup aurat apabila diseru. Mereka mencipta pelbagai alasan untuk melakukan suruhan tersebut.
Allah berfirman lagi, “Iblis berkata, berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).” (Surah Al-‘Araf ayat 14)
Apabila Allah SWT memerintahkan Iblis untuk keluar daripada Syurga, tetapi Iblis tetap menunjukkan dirinya itu untuk menjadi takbur sehingga diminta tangguhkan ajalnya. Kemudian, Iblis telah menuduh Allah SWT menyesatnya.
Daripada hal itulah, Iblis telah meminta untuk menyesatkan anak Adam dari kiri, kanan dan belakang. Iblis telah berjanji untuk berada di dunia nanti dan menganggu anak Adam yang ingin mengerjakan amalan baik seperti pergi ke masjid dan berada di tempat yang mulia.
Hal ini dijelaskan Allah menerusi firman Allah di dalam Surah Al-‘Araf ayat 15 hingga 17 yang bermaksud, “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)” Iblis berkata, “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat maka demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
Janji Iblis inilah menjadi sebab yang berpanjangan, manusia seringkali digoda dan diuji dengan pelbagai ujian untuk melakukan perbuatan dan amal soleh itu. Keadaan ini memaksa jiwa yang lemah terus terbuai dengan ajakan Iblis dalam meneruskan perkara-perkara yang di luar batasan syarak.
Kemudian Allah berfirman, “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan golongan kamu yang derhaka semuanya.” (Surah Al-‘Araf ayat 18)
Lalu kenyataan Allah ini memberikan lebih lagi penjelasan tentang bagaimana dahsyatnya Allah SWT meletakkan kebencian kepada mereka yang mengikut telunjuk Iblis itu. Mereka akan digolongkan ke lembah neraka yang jahanam itu dan tidak akan aman tenteram jiwa mereka.
Perjalanan memahami kisah Nabi Adam AS dan Iblis ini menjadi peringatan kepada kita selaku manusia dan hamba Allah untuk terus menanamkan kebencian terhadap perbuatan yang telah dilakukan oleh Iblis sehingga dicampakkan Allah SWT mereka itu ke dunia ini.

No comments:

Post a Comment